Sebenarnya ‘gerak’ ada, buktinya ketika tidur tubuh kita masih bergerak sendiri tanpa kita sendiri memilih untuk lakukan perbuatan tersebut. Cuma atas faktor tertentu yang menyebabkan ’gerak’ tidak muncul secara adatnya ketika kita memakainya dalam keadaan sedar. Antara faktornya ialah:
i) Doktrinisasi Pemikiran
Iaitu dasar pemikiran yang tidak bertauhid dan bermakrifatullah. Pada mereka hakikat adalah semata-mata Hukum Adat. Bermakna bagi mereka, tidak mungkin sesuatu terjadi tanpa sebab yang beradat. Contoh, wajib pisau memutuskan tali, wajib api menggelegakkan air, wajib ubat menyembuhkan pesakit dan sebagainya. Pemikiran sebeginilah yang walaupun tanpa mereka sedar, hakikatnya adalah anutan para Atheis maka sisi qudrah keTuhanan yang pada hakikatnya memberi bekas (ta’thir) langsung tidak pernah singgah difikiran mereka lantaran tidak belajar ilmu akidah (Usuludin). Maka ditunggunyalah tubuhnya digerakkan oleh roh walhal fokus ketika ‘buka gerak’ ialah kepada Tuhan yang menggerakkan roh tersebut.
Sebab itulah syuhud menjadi dasar keilmuan Ilmu Gerak ketika pengamal ‘buka gerak’. Dan ukuran syuhud yang benar adalah usaha menenggelamkan diri dalam lautan keagungan dan kekuasaan Allah Ta’ala sehingga mulai pada jiwa merasai betapa diri pada ketika itu di dalam genggaman Allah Ta’ala yang menggerak atau mendiamkan. Tanpa syuhud yang benar ‘gerak’ tidak akan muncul. Oleh itu terlebih dahulu perbetulkan pemikiran rosak yang selama ini telah terdoktrin secara tidak sedar di dalam pemikiran kepada Tauhid.
Sekadar mengucapkan “Allah itu Tuhan” namun tidak mengetahuinya jalan dalil tafsili-nya, hakikatnya si pengucap sedarjat dengan burung Tiong.
ii) Tahan Gerak
Gerakan yang berlaku ketika manusia tidur adalah 100% perbuatan dari upaya diri roh secara sendirinya. Nafs (kesedaran) pula ketika itu keluar ke alam fitrahnya meninggalkan tubuh. Berdasarkan kefahaman ini, untuk menggunakan upaya diri roh dalam keadaan sedar, tubuh hendaklah ‘dimatikan’ sebagaimana matinya ia ketika tidur. Bermakna ‘lepaskan’ tubuh (jangan keraskan tangan) dengan mengusahakan mengangkat tangan (posisi berdoa) pada kadar kurang daripada 80% upaya jasad. Turunkan tangan perlahan-lahan sambil merasai gerakan ‘dalaman’ untuk mengikuti arah gerakannya.
Jika gerak ditahan (tangan dikeraskan) maka gerakan roh tidak akan dapat dirasai kerana ia bersifat halus. Tanda-tanda pengamal menahan geraknya ialah lazim tangan berasa memberat. Umpama kereta cuba digerakkan dengan menekan pedal minyak namun pada masa yang sama hand brek ditarik. Pergerakan kereta akan terasa berat.
iii) Mengamalkan ilmu Kebatinan
Ilmu Kebatinan yang dimaksudkan ialah dari aliran jenis pengisian. Tanda-tanda seseorang itu telah beramal dengan ilmu Kebatinan ialah:
- Mengamalkan ayat-ayat tertentu dalam bilangan yang tertentu dan di dalam tempoh yang tertentu.
- Membaca ayat-ayat tertentu sebagai amalan khusus dengan disertakan melakukan latihan jurus (sedut nafas dan/atau lepas nafas).
- Diijazahkan dengan cara murid menyedut nafas ketika di arahkan guru yang sedang ‘menjurus nafas’ atau membaca ayat-ayat tertentu.
- Diijazahkan dengan cara menyerapkan pengisian ke tubuh murid melalui tepukan dibelakang badan atau seluruh badan.
Sifat pengijazahan ilmu Kebatinan ialah tatacaranya wajib berdepan antara guru dengan murid untuk dilakukan pengisian secara langsung ke atas murid.
Hakikatnya apa yang diisi ke dalam tubuh itu ialah zat-zat tertentu yang tidak diketahui dari mana asal datangnya. Kita menggolongkannya termasuk dalam kelompok Zat Jahat. Tubuh yang dipenuhi zat pengisian ini membuatkan tubuh menjadi ‘berat’ dan keadaannya persis seperti menahan gerak, lantaran itu dirasakan ’gerak tiada’.
Untuk menyelesaikan masalah ini pengamal hendaklah mengosongkan tubuhnya daripada zat-zat pengisian dan memutuskan pertalian ijazah dengan cara meminta kepada guru yang mengijazahkannya untuk membatalkan ijazah dan melakukan pengosongan.
iv) Bersesuaian dengan diri
Kita ‘buka gerak’ bermohon kepada Allah Ta’ala, oleh itu dalam genggaman Dia-lah perbuatan kita (diri roh) samada Dia mahu menggerakkan atau mendiamkan. Ada berlaku dalam pengalaman saya di mana pengamal tiada gerak ketika ‘main gerak’ (latihan merasi) namun ketika merawat ada pula gerak mengubatnya. Bermakna jika tiada gerakan silat (merasi), itu tidak bermakna pengamal tidak boleh mengubat.
v) Waswas
Tidak dapat membezakan gerakan yang berlaku dari pilihan sendiri atau dari diri roh. Ini tergolong penyakit jiwa dan kenalah terlebih dahulu diselesaikan jiwanya itu.